Sunday, April 25, 2010

~~mungkin hanya sekadar bicara hati ini~~

Aku memandang ke dalam diri, cuba mencari punca menyebabkan hubungan kami tak seperti yang kuharapkan. Mungkin aku tidak cukup sempurna di matanya tapi inilah aku, dengan banyak kekurangan dan kelebihan yang sederhana.
Aku dapat merasakan ada yang tidak kena. Rentak dan langkah kami bagaikan tidak sehaluan. Mahuku begini, tapi reaksinya begitu menghampakan tapi aku masih juga terus menanti. Membiarkan diriku terus setia dalam pecaturan cinta yang tak pasti. Setiap kali aku dapat merasakan kakinya sudah mula melangkah masuk dalam lingkaran garis cinta, tiba-tiba dia menyepi dan menghilangkan diri.
Mengapa aku terus membiarkan diriku merana begini? Bukankah bahagia ada di mana-mana? Akulah yang harus mencarinya. Ah! Apalagi diharap pada yang tak sudi.
Satu cinta milikku telah kuserahkan kepadamu seorang. Tapi denganmu, rasanya aku bagai bertepuk sebelah tangan. Sebagai perempuan, aku tidak tergamak mendahuluimu melafazkan kata cinta. Kini, lafazkanlah kalau kau benar-benar menaruh hati kepadaku.
Mengapa dari dua ulas bibirmu masih tidak terlonta kalimah itu? Berapa lama lagi harus kutunggu?mengapa kau buat aku begini? Aku dah mati akal. Aku dah tak tahu cara bagaimana lagi untuk menawan hatimu.
Kalau benar ada rasa cinta, lafazkanlah. Aku ingin mendengarnya. Mengapa dibiarkan aku menanti dalam teka-teki. Sayu mengenangnya yang membiarkan cintaku terbiar sepi. Dipersia bagai tiada harga. Aku semakin pasti bahawa hanya dialah dambaan hatiku. Cuma dia saja yang tak memberikan reaksi seperti yang kuharapkan. Hingga kini aku masih ternanti-nanti dalam resah.
Bingung memikirkan di mana letaknya diriku dalam hubungan kami yang lebih banyak dingin dan suam-suam kuku sedangkan aku lihat orang lain semakin hari semakin intim dan mesra.
Bukan begini mahuku, bukannya dingin dan beku. Aku merajuk dengan sikapnya tapi kepada siapakah harus kuluahkan rasa hati ini? Kepadanya? Ah, siapalah diriku di sisinya…
Tapi orang kata, cinta tak perlu di ucapkan. Betul ke? Memadai dengan hanya mata yang berbicara. Ah, aku tak mahu begitu! Aku mahu segala-galanya terang dan nyata. Diucapkan, dilafazkan atau dibisikkan di telingaku. Begitu mahuku tapi ahhhhhhhhhh!
Senyumannya membuatkan rasa ingin pergi jauh darinya gagal kupertahankan. Hingga kini aku terus juga membiarkan diriku ‘terikat’ dengannya. Rela ditawan dalam penjara cintanya yang penuh misteri.
Sayang, apakah impianku hanya tinggal impian sahaja? Atau apakah kita berkongsi rasa yang sama untuk membina ikatan cinta? Kalau ada rasa cinta, mengapa memendam rasa? Seluruh hatiku telah kau tawan tapi mengapa kau biarkan kasihku sunyi menunggu seorang diri? Sarat hatiku dengan persoalan namun jawapannya masih tidak kutemu.
Sesungguhnya , terlalu dalam perasaanku terhadapnya tapi bagaimana hendak kuluahkan andai dia tidak memulakannya? Aku menghitung detik yang pantas berlalu, keinginan apa yang menggebu dalam hati sehingga aku nampaknya begitu terdesak? Haruskah aku terus membiarkan diriku menunggu bayanga yang tak pasti hingga hamper pecah ruang hati ini menanggung rasa rindu?
Terasa benar kehadiran diriku dalam hidupnya tak dihargai. Ada atau tidaknya aku langsung tidak memberikan apa-apa makna baginya. Namun, dalam hatiku tetap menggebu rasa kasih dan cinta terhadapnya. Tidak berupaya kuusir pergi.
Bolehkah aku membuka mulut dan bertanya tentang perasaannya terhadapku? Adakah seperti rasaku terhadapnya? Tapi tidakkah nanti aku dianggap seperti perigi mencari timba? Alangkah malunya andai dia mengetahui yang aku amat mendambakannya?
Kalau selama ini hanya aku seorang yang membina harapn, kini pandai-pandailah aku meleraikannya. Sebagai seorang perempuan, takkanlah aku hendak bersikap berlebihan pula. Apa-apa pun tindakan aku biarlah berpada-pada.
Siang dan malam silih berganti. Aku menghitung detik dan waktu yang berlari. Hingga kini hala tuju hubungan aku dan dia masih juga kabur. Diriku sudah penat menanti. Lantaran itu, aku mula menghindari, cuba membuangnya dari hatiku. Seminggu dua aku mampu bertahan tidak menatap wajah dan mendengar suaranya. Aku ibarat burung yang lepas bebas terbang ke mana sahaja. Namun akhirnya aku kembali hinggap di ranting yang sama. Kembali ke pangkuannya kerana dia juga dambaan hatiku.
Rasa marah dengan sikapnya yang acuh tidak acuh gagal melawan rasa hati ini. Aku mengulangi semula episod cinta yang penuh misteri. Aku rela meskipun sendirian memintal angan-angan dan mimpi, terawang-awang dan bagai tidak berpijak di bumi yang nyata. Boleh dikatakan juga bahawa aku menjadi hamba pada cintaku sendiri.
Aku sudah penat mengejar cintanya. Sudah penat mengejar mimpi dan menganyam angan-angan sendirian. Kini biarlah…nak jadi apa pun jadilah! Sukarnya hendak mengajar hati ini agar berhenti memuja pada yang tak sudi. Kalau cinta katakan cinta. Kalau tidak pun, katakan juga agar aku tahu di mana tempatku di hatinya.
Aku tidak bersedia untuk melupakannya tapi aku ada maruah dan harga diri yang harus aku pertahankan. Perlukah kau jelaskan padanya tentang perasaan cinta yang membara dalam hatiku ini atau biarlah aku sendirian memendam rasa?
Sesungguhnya aku tidak pernah melupakannya. Setiap detik yang berlalu adalah paluan rindu yang bergema dalam sanubariku buatnya. Wahai angin, sampaikanlahsalam rinduku padanya agar dia tahu bahawa diriku begitu mendambakannya untuk mengisi kekosongan hati ini. Di luar sedar, keluhanku terlepas. Sayu mengenang nasib diri yang masih tetap setia dan rela hati mengikat diriku padanya. Masih berharap dan ternanti-nanti, sedangkan dia entahkan ingat, entahkan tidak padaku.
Ahh! Duduk tak serata, berdiri tak sama tinggi. Sayap tak ada, ada hati nak terbang tinggi. Biarlah …buat apa diharap pada burung yang terbang andai diri merayap di bumi…


0 comments:

background